fbpx
Surya menunjukkan lokasi kejadian adiknya Muhamad Firdaus (gambar kecil) digigit anjing ketika bermain basikal berhampiran rumah mereka di Taman Megah, Batu 9 Cheras, Kajang, semalam.

Digigit anjing: Terkejut adik berlari berlumuran darah jerit sakit..sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – “Saya baru je masuk ke dalam rumah dan letak beg sekolah adik semua sebelum dengar dia menjerit ‘sakit..sakit’ sambil berlumuran darah,”

Demikianlah cerita Surya Arifin Mohd. Nasir, 21, mengenai adiknya, Muhamad Firdaus Hakim, 6, yang diserang dan digigit anjing di Taman Megah, Batu 9, Cheras, di sini semalam.

Menurut Surya, ketika itu dia baru sahaja pulang dari kerja dan mengambil adik bongsu daripada empat beradik itu dari taska berhampiran rumah kira-kira pukul 5.50 petang.

“Memang rutin adik setiap hari, sampai-sampai rumah dia akan bermain basikal balik dari taska. Biasanya dia memang bermain di lorong hadapan rumah sahaja.

“Kami (keluarga) pun tak risau sebab lorong ni tak ada anjing atau sesiapa yang pelihara anjing. Tapi semalam adik bermain pula sampai ke lorong besar sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Surya berkata, dia terkejut apabila mendengar adiknya menjerit kesakitan sebelum keluar mendapati mendapati kepala adik bongsunya berlumuran darah.

Dia kemudian menelefon ambulans dan memaklumkan kepada ibunya yang sedang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah berhampiran.

“Masa itu adik minta air dia suruh basuhkan kepala dia, tapi bila saya telefon ambulans petugas kesihatan minta jangan basuh dan tutup dahulu kepalanya.

“Selepas menunggu ambulans agak lama, saya buat keputusan untuk bawa adik ke klinik, sebelum klinik merujuk untuk bawa ke Hospital Kajang. Kemudian pagi ini adik menjalani pembedahan di Hospital Putrajaya,” ujarnya.

Kata anak sulung itu, keadaan kepala adiknya agak parah kerana beberapa bahagian di sebelah kanan dan belakang terkoyak selain cebisan telinga terputus.

Jelas Surya lagi, status adiknya masih belum diketahui berikutan masih berada di dalam dewan pembedahan setakat pukul 1 petang tadi.

Sementara itu Surya berkata, kawasan perumahan tersebut mula didatangi anjing liar sejak lebih dua minggu lalu.

Dia juga berkata mereka sekeluarga akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik anjing tersebut selain mengharapkan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan pemantauan berkala.

Dalam pada itu, seorang jiran dikenali sebagai Murni, 63, berkata kejadian itu pertama kali berlaku dalam lorong perumahan tersebut sejak dia menetap di situ selama 34 tahun.

Katanya yang merupakan seorang pesara, sejak dua minggu lalu beberapa anjing liar mula muncul dan menjadikan kereta usang sebagai tempat berteduh.

“Masa kejadian agaknya Firdaus bawa basikal bunyinya kuat, tiba-tiba anjing itu menyambar dari bawah kereta dan terus menggigit. Sebaik dia pun jenis kuat dan berlari selamatkan diri.

“Terkejut kami (penduduk) apabila melihat Firdaus berlari menjerit dalam keadaan berlumuran darah. Sebelum ini memang tak pernah langsung ada kes budak kena gigit anjing,” katanya.

Jelas Murni lagi, beberapa aduan telah dibuat berkaitan dengan anjing liar yang mula memenuhi kawasan berhampiran namun tiada tindakan selanjutnya dari pihak berkuasa tempatan.

“Kami trauma dengan apa yang berlaku sampai kan hari ini kalau nampak budak kecil main dekat luar saya suruh masuk rumah sebab takut kejadian sama berulang. Harap pihak berwajib pantau berkala anjing liar ni dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital setelah diserang dan digigit anjing ketika bermain di sebuah perumahan di Batu 9, Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan dari abang mangsa pada pukul 11.41 malam.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya telah menghantar kakitangan untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak tersebut.

Menurutnya anjing yang mencederakan kanak-kanak itu juga telah ditangkap oleh sepasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar MPKj semalam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI