KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima dua aduan rasmi berkaitan pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 secara ‘one-off’.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, aduan berkaitan bekalan dan harga barangan tersebut dikemukakan melalui platform rasmi KPDN dari 31 Ogos hingga 2 September lalu.
“Setakat 31 Ogos hingga 2 September 2025, sebanyak lima aduan rasmi diterima di platform KPDN dan dua aduan terkait dengan pelaksanaan Sara.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) KPDN adalah setiap aduan diterima berkaitan harga dan bekalan akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian berhubung dakwaan terdapat pihak mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pelaksanaan bantuan RM100 tersebut.
Terdahulu, Armizan berkata, KPDN telah mengambil langkah-langkah awal susulan pelaksanaan tambahan pemberian RM100 Sarakepada 22 juta rakyat Malaysia yang melibatkan anggaran perbelanjaan melebihi RM2 bilion.
Kata beliau, langkah-langkah yang diambil oleh KPDN adalah meningkatkan pemantauan yang menyaksikan sebanyak 8,438 premis telah diperiksa dari 31 Ogos hingga 2 September lalu.
“Kedua, semakan data pemantauan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) yang melibatkan 1,160 premis setiap hari dengan meliputi 316 item.
“Ketiga, KPDN juga telah mengambil langkah awal memasukkan kesemua barangan yang disenaraikam dalam Program Sara telah dimasukkkan dalam item pemantauan PPH,” katanya. – KOSMO! ONLINE