KUALA LUMPUR – Remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu akhirnya ditemui selamat di ibu negara malam tadi.
David dijumpai oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini kira-kira pukul 7 malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan merakam keterangan remaja lelaki itu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.
Sementara itu, seorang individu dikenali sebagai Uncle Kentang menerusi hantaran di Facebook berkongsi beberapa keping gambar David berpelukan dengan ibunya, Minerva Balisong, dimuat naik.
Wanita itu kelihatan tidak dapat menahan sebak apabila dapat bertemu semula dengan anaknya setelah tiga bulan remaja tersebut menghilangkan diri.
Di dalam satu siaran langsung juga ibunya kelihatan membuat panggilan video dipercayai ahli keluarganya bagi memaklumkan penemuan anak sulungnya itu.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.
Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.
Antara kandungan e-mel tersebut adalah luahan Balisong supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini. – KOSMO! ONLINE