LANGKAWI – ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) menjalinkan kerjasama kukuh dalam isu alam sekitar termasuk meneroka sinergi bagi menangani pencemaran plastik, kehilangan biodiversiti serta perubahan iklim.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, ruang kerjasama itu adalah hasil Dialog Menteri-Menteri ASEAN-EU pertama mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MDEC) yang berlangsung hari ini.
“Dialog sulung ini memberi peluang untuk membentuk rangka kerja kukuh bagi kerjasama alam sekitar ASEAN-EU serta berkongsi penyelesaian inovatif dan amalan terbaik daripada kedua-dua rantau.
“Selain itu, ia bertujuan meneroka sinergi dalam menangani pencemaran plastik serta isu kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim,” katanya ketika berucap pada Dialog MDEC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini.
Katanya, dialog sama juga membolehkan inisiatif pembangunan kapasiti dan pemindahan teknologi diperkukuhkan selain menyelaraskan semua usaha yang dijalankan menerusi perjanjian dan kerangka kerja antarabangsa.
Beliau menambah, meskipun ASEAN dan EU mempunyai ekosistem, ekonomi dan komuniti yang pelbagai, dua rantau itu bagaimanapun berkongsi cabaran serta aspirasi bersama demi masa depan mampan.
“ASEAN dan EU komited terhadap sasaran iklim berimpak tinggi serta perlindungan alam sekitar,” ujarnya.
Katanya lagi, kepimpinan EU berkaitan iklim global melalui inisiatif seperti Perjanjian Hijau Eropah dan komitmennya terhadap neutraliti karbon adalah melengkapi agenda alam sekitar ASEAN.
Sementara itu, dalam ucapan berasingan, beliau berkata, ASEAN dan Jepun sepakat memperkukuhkan kerjasama dalam menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim menerusi Dialog Menteri-Menteri ASEAN-Jepun ke-3 mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (AJMDEC) yang turut berlangsung hari ini. – KOSMO! ONLINE