BUENOS AIRES – Pengendali Argentina, Lionel Scaloni menyeru agar peminat terus menyokong kaptennya, Lionel Messi yang kini dalam ‘fasa akhir’ untuk membantu skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Menurut laporan, Messi yang berusia 38 tahun bakal menggantung but daripada arena bola sepak antarabangsa selepas berakhirnya kempen Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico nanti.
Scaloni berkata, sekarang adalah masa untuk peminat dan barisan pemain menikmati sahaja kehadiran Messi menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Venezuela di laman sendiri, pagi esok.
“Saya akan sentiasa menyenaraikan Messi sekiranya dia cergas kerana dia boleh mengubah perlawanan pada bila-bila masa.
“Jika dia mahu bersara daripada skuad kebangsaan selepas ini, itu adalah hak dia tetapi biarlah dia yang tentukan masanya. Selagi belum sampai waktu, kita perlu hargai dan terus sokong Messi di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Scaloni mengakui tidak ada masalah untuk menyenaraikan Rodrigo De Paul dalam skuad kebangsaan walaupun pemain tengah itu kini mewakili kelab Liga Bola Sepak AS (MLS) bersama Inter Miami.
“Pemilihan pemain saya adalah berasaskan merit. Jika dia dapat kekalkan rentak konsisten, De Paul akan terus diserapkan dalam skuad kebangsaan,” katanya. – AGENSI