PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan berkenaan wujud cadangan mengenai keperluan menghadkan usia bagi tribunal anti-buli ini kepada bawah 18 tahun sahaja.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada mesyuarat hari ini.
“Azalina telah memaklumkan bahawa antara perkara yang dibangkitkan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam adalah keperluan menghadkan usia bagi tribunal anti-buli ini kepada 18 tahun,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, Azalina juga memaklumkan, siri Mesyuarat Mengenai Usaha-usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia akan diteruskan pada minggu hadapan bagi meneliti aspek-aspek berkaitan perancangan untuk melaksanakan tribunal anti-buli.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas bagi pembelian kredit menerusi Sumbangan Asas Rahmah (Sara) adalah mencukupi setakat ini.
“Pemantauan akan ditingkatkan untuk pastikan tidak berlaku apa-apa isu dari segi stok ataupun bekalan bagi barang-barang keperluan asas,” katanya. – KOSMO! ONLINE