fbpx
Tangkap layar kejadian itu.

[VIDEO] Padah menyelit, isteri mati digilis treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Tindakan penunggang motosikal ‘menyelit’ beberapa buah kenderaan berat mengundang tragedi apabila isterinya maut digilis treler di Jalan Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 1.20 tengah hari dengan mangsa merupakan warga Indonesia meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian motosikal jenis SM Sport 110R ditunggangi seorang lelaki tempatan bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia 10 tahun dari arah Pulau Indah ke Klang.

Menurutnya, motosikal itu telah menyelit beberapa kenderaan berat dan bergesel dengan sebuah treler lalu terjatuh di tengah jalan.

“Akibat kemalangan treler tidak sempat mengelak dan mengilis isteri penunggang motosikal itu.

“Mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menambah, penunggang motosikal dan anaknya hanya mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HTAR.

Pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya khasnya penunggang motosikal supaya berhati-hati semasa memandu dan sentiasa fokus kepada pemanduan.

Terdahulu, kemalangan tragis tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 30 saat dengan turut memaparkan detik mangsa digilis treler.

Suami mangsa juga didapati mengalihkan jasad isterinya yang telah digilis dan anaknya yang jatuh di tengah jalan selain pemandu treler itu dilihat seakan terkejut akan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI