MELAKA – Seorang kakitangan sebuah universiti awam di negeri ini direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki telah menyalahgunakan wang persatuan sebanyak RM84,500 bagi membayar kos guaman dan perintah mahkamah isterinya, tahun lalu.
Perintah reman sehingga 7 September itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Uthman Abd. Ghani terhadap suspek berusia 47 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Malaysia 2009.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan diiringi pegawai SPRM.
Menurut sumber, suspek telah ditahan pada pukul 5.10 petang semalam ketika hadir di pejabat SPRM Melaka di Alai bagi memberi keterangan.
Katanya, hasil soal siasat, suspek yang merupakan setiausaha Persatuan Staf Akademik di pusat pengajian itu dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan wang organisasi terbabit untuk tujuan peribadi.
Ujarnya, suspek disyaki telah menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM84,500 untuk membayar kos guaman dan perintah mahkamah bagi pihak isterinya, pada tahun lalu.
Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi pemberita turut mengesahkan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE