SEREMBAN – Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencium bibir seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada akhir bulan Ogos lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Uzman Khan, 22, yang bekerja sebagai buruh binaan selepas meneliti hujahan mitigasi yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan, Uzman telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan cara mencium bibir di sebuah perhentian bas di Taman Tuanku Ja’afar, Sungai Gadut di sini sekitar pukul 6.30 petang pada 24 Ogos lalu.
Sementara itu, rakan senegara tertuduh, Abrar Tasib, 33, yang juga buruh binaan dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan telah ada dalam milikan imej pornografi mangsa yang sama dalam telefon bimbitnya.
Abrar didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban sekitar pukul 6.30 petang pada 28 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE