PARIS – Polis Perancis menembak mati seorang lelaki yang menikam sekurang-kurangnya lima orang secara rambang dengan seorang mangsa parah di bandar pelabuhan Marseille, lapor akhbar Metro UK.
Insiden amukan pisau itu berlaku di bandar pelabuhan Marseille, selatan Perancis semalam.
Pendakwa Raya Marseille, Nicolas Bessone berkata, suspek merupakan warga Tunisia yang mempunyai status sah di Perancis.
“Situasi tercetus selepas suspek diusir dari hotelnya kerana gagal membayar sewa. Dia menikam tetamu yang menginap di bilik lamanya sebelum menyerang pula anak pengurus hotel.
“Suspek kemudian masuk ke dalam sebuah bar berhampiran dan cuba menyerang pelanggan secara rawak,” kata Bessone.
Polis mengarahkan suspek melucutkan senjatanya tetapi arahan itu tidak diendahkan, menyebabkan dia ditembak.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau dijadualkan melawat Marseille pada hari kejadian termasuk mengunjungi ibu pejabat polis bandar tersebut. – AGENSI