JAKARTA – Sejumlah anggota polis wanita ditempatkan di barisan hadapan ketika demonstrasi berlangsung di depan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) wilayah Lampung kelmarin bagi menjamin ketenteraman awam, lapor laman berita Ini Hari.
Polis daerah mengerahkan seramai 1,247 anggota untuk mengawal keadaan protes disertai golongan mahasiswa itu.
Dua barisan polis wanita bersiap siaga di barisan hadapan sebagai perunding, manakala barisan polis lelaki berdiri di belakang mereka sebagai persediaan bagi sebarang keganasan yang mungkin tercetus.
Demonstrasi itu bagaimanapun berlangsung secara aman meskipun tuntutan-tuntutan yang dibawa dilaungkan dengan lantang.
Anggota polis wanita yang ditempatkan dilihat berjaya menggunakan pendekatan mesra dan harmoni untuk mengawal sikap penunjuk perasaan.
Video mengenainya dimuat naik di laman sosial dengan keterangan berbunyi: “Redakan suasana dan amarah orang ramai. Polis Bandar Lampung sengaja tempatkan polis wanita di barisan hadapan.”
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Penunjuk perasaan siap rakam gambar bersama,” kata seorang netizen.
“Idea yang bagus untuk mengawal emosi,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI