fbpx
Ramai yang menggunakan RON95 untuk berulang-alik ke tempat kerja dan kerajaan akan memastikan rakyat biasa tidak terbeban susulan pelaksanaan penyasaran subsidi.

Polemik siapa layak beli RON95?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi minyak dilaksanakan.

Dalam pengumuman khas itu, beliau menyatakan penurunan harga daripada RM2.05 sen seliter itu akan memberi manfaat kepada 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk pekerja gig.

Pada tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun walaupun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan.

Anwar berkata, sebelum akhir September ini, beliau akan memastikan penurunan harga petrol itu dilaksanakan.

Namun, Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, langkah penyasaran subsidi RON95 adalah perlu susulan dasar subsidi pukal yang diamalkan sejak sekian lama hanya membebankan fiskal negara dan tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat.

Katanya, kerajaan masih belum memuktamadkan kriteria untuk subsidi bersasar RON95.

Ramai yang menggunakan RON95 untuk berulang-alik ke tempat kerja dan kerajaan akan memastikan rakyat biasa tidak terbeban susulan pelaksanaan penyasaran subsidi.

Menyentuh mengenai isu itu, Dekan Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr. Norzanah Mat Nor berkata, beliau bersetuju dengan penyelarasan subsidi tersebut demi kemakmuran rakyat yang layak dan kelangsungan hidup mereka.

Namun, katanya, mekanisme yang menyeluruh wajar dimantapkan agar tiada keciciran berlaku dalam kalangan mereka yang layak walaupun kumpulan kaya.

“Sebagai negara pengeluar minyak yang sederhana di dunia, diharapkan dasar baharu subsidi bersasar ini benar-benar dapat membantu Malaysia untuk mengagihkan RM20 bilion itu kepada sektor lain yang memerlukan antaranya pendidikan dan kesihatan.

“Penstrukturan ini tidak wajar berlaku secara mendadak dalam era kerajaan Madani yang sedang menyantuni rakyat,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan subsidi bersasar merupakan satu era baharu yang cuba mendiskriminasikan harga untuk membolehkan orang yang memerlukan membayar lebih rendah.

“Persoalannya dalam proses pengenalan ini, pasti akan ada banyak masalah. Bagaimana hendak membezakan dan bagaimana perbezaan itu boleh dilakukan dengan tepat.

“Pada permulaannya, ia bagi memastikan orang kaya sahaja yang akan membayar harga penuh. Kita memerlukan kaedah pelaksanaan yang tepat.

“Kerajaan memberikan subsidi lebih RM20 bilion untuk petrol RON95. Jika penyelewengan oleh rakyat bukan warganegara boleh diatasi, itu pun boleh memberikan lebih dari RM5 bilion penjimatan,” katanya.

Beliau berkata, penurunan harga sebanyak 6 sen itu akan memberi faedah sebanyak RM2 bilion kepada pengguna.

“Maknanya, kerajaan terpaksa menambah membayar subsidi sebanyak RM2 bilion. Kita hendak RM2 bilion itu dinikmati oleh kumpulan B40 atau M40. Hanya mereka yang mendapat faedah.

“(Perbelanjaan) RM2 bilion itu adalah bayaran yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana menurunkan harga minyak daripada RM2.05 sen kepada RM1.99,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN