MESKIPUN rumah tangga dilanda ‘badai’, pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan Faisal Halim masih berada dalam kondisi terbaik untuk menghadapi aksi persahabatan bertemu Singapura, malam esok.
Cklamovski berkata, Faisal yang mesra dengan gelaran Miki itu mempunyai mentaliti yang luar biasa dan tidak ada masalah untuk sarung jersi kebangsaan jika diperlukaan.
“Dari aspek bola sepak, dia berada dalam keadaan yang terbaik. Masalah itu adalah isu peribadi antara dia dan keluarganya, tetapi pasukan sentiasa memberi sokongan buatnya.
“Kami mendoakan yang terbaik untuknya kerana saya tahu Miki adalah inspirasi kepada negara.
“Apa yang penting, dia memberi komitmen penuh pada sesi Latihan dan bersedia untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk negara,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai kemelut rumah tangga Faisal dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Mengulas lanjut, Cklamovksi turut memberi bayangan kapten Selangr FC itu berpeluang untuk diturunkan dalam kesebelasan jika diperlukan.
“Berdasarkan kepada apa yang ditunjukkan pada sesi latihan, sudah pastinya ada peluang untuk dia diturunkan.
“Saya akan membuat keputusan esok dan anda akan melihat barisan pemain itu nanti,” katanya.- KOSMO! ONLINE