PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd. Hafez Sabri berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
MCMC berkata, keterangan itu diambil berhubung insiden seorang wanita menaiki pentas ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh pada 31 Ogos lalu.
“Seperti yang disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, (kenyataan) ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum selain persepsi negatif masyarakat.
“Sesi rakaman keterangan dan siasatan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman pada 2 September (semalam),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut MCMC, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, media melaporkan, Mohd. Hafez memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung satu hantaran di Facebook miliknya yang tular mengenai insiden cubaan seorang wanita mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mohd. Hafez mendakwa hantaran awal yang dibuatnya dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pada Ahad lalu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim mengecam tindakan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, hantaran itu telah dipadam sebelum Pemuda Amanah Perak mendedahkan tangkap layar kenyataan pemimpin muda Pas tersebut. – KOSMO! ONLINE