PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengumumkan konsortiumnya bersama Solarvest Holdings Berhad (SHB) telah menerima Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga (EC) yang menyatakan pihaknya telah disenarai pendek untuk membangunkan projek solar berskala besar berkapasiti 470 megawatt (MW) di Windsor Estate milik Kumpulan di Mukim Kamunting dan Mukim Batu Kurau, Perak.
Penganugerahan itu hasil daripada proses bidaan kompetitif LSS PETRA 5+ yang dijalankan oleh EC.
Sehubungan itu, Malakoff dan SHB akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar dengan Tenaga Nasional Berhad, membolehkan loji itu menjana dan membekalkan tenaga solar kepada grid nasional selama 21 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, penganugerahan itu membuktikan keyakinan yang diberikan kepada Malakoff untuk melaksanakan projek yang mampu memberi impak besar kepada masa depan tenaga negara.
“Pembangunan solar ini bukan sahaja akan menyumbang kepada aspirasi sifar bersih Malaysia, malah membantu memastikan bekalan tenaga negara yang stabil dan boleh dipercayai.
“Dengan mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu (TBB) ke dalam grid dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, kami sedang melaksanakan langkah nyata ke arah sasaran Kerajaan untuk mencapai 70 peratus kapasiti RE dalam campuran tenaga menjelang 2050.
“Menerusi kapasiti TBB sedia ada Malakoff sebanyak 198 MW yang merangkumi solar berskala besar, solar komersial dan industri serta hidro kecil, projek baharu ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE