JAKARTA – Timbalan Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir menyatakan bahawa Zetro Leonardo Purba yang ditembak mati di Lima, Peru kelmarin adalah pentadbir canselori, dan bukannya diplomat, lapor laman berita Harian SIB.
Arrmanatha turut merakam ucapan takziah atas kematian pegawai Kementerian Luar Negeri tersebut.
“Saya secara peribadi dan seluruh Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya berhubung insiden penembakan pentadbir canselori di Kedutaan Indonesia di Lima, Peru, Zetro Leonardo Purba,” kata Arrmanatha semalam.
Tambah beliau, tembakan berlaku ketika Zetro hendak memasuki bangunan pangsapurinya, di mana dia ditembak oleh orang yang tidak dikenali.
“Dia segera dikejarkan ke hospital oleh polis tempatan. Bagaimanapun, dia tidak dapat diselamatkan,” kata Arrmanatha.
Tambahnya, kedutaan telah meminta siasatan menyeluruh terhadap kes tersebut dan meminta agar pelaku dihukum sepenuhnya mengikut undang-undang Peru.
Menurut Arrmanatha, Zetro meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.
“Kedutaan Indonesia kini sedang membincangkan proses penghantaran pulang dan pengebumian bersama keluarga, yang akan mengambil masa kira-kira lima hari bekerja,” katanya. – AGENSI