PUTRAJAYA – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) peringkat sarjana muda bagi Sesi Akademik 2025/2026 untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf diumumkan pada Jumaat ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan itu boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, 14 September ini.
“Semakan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://upu.mohe.gov.my atau aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.
“Pengesahan setuju terima/tolak tawaran bermula pada 6 September hingga 14 September 2025 di laman web UA masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut KPT, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada mereka yang berjaya mulai 6 September ini setelah calon membuat pengesahan setuju menerima tawaran dalam tempoh dinyatakan.
Hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di pautan https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 5 hingga 14 September 2025, pukul 5.00 petang.
“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2025/2026 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE