KUANTAN – Fenomena air pasang besar yang menyebabkan air laut memasuki kawasan Tasik Taman Gelora di sini, dipercayai menjadi punca kematian ratusan ekor ikan sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai sejak beberapa hari lalu.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada fenomena air pasang besar yang menyebabkan air laut memasuki tasik itu melalui empangan kecil (weir).
“Kemasukan air laut ini meningkatkan tahap kemasinan air sekali gus mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik yang bersifat payau. Ini merupakan kejadian alam yang tidak dapat dijangka,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zaliza, perubahan mendadak air itu dipercayai menjadi faktor utama kematian beberapa spesies ikan liar yang hidup dan membiak secara semula jadi di tasik berkenaan termasuk ikan susu, tilapia, kapas dan siakap merah.
Katanya, bagi memastikan keselamatan kawasan rekreasi itu, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan mengutip ikan-ikan mati di sekitar tasik. – KOSMO! ONLINE