DUA aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin dijangka menjadi medan terbaik buat Harimau Malaya untuk menyiapkan skuad terbaik bagi harungi kelayakan Piala Asia 2027, bulan depan.
Pengendali negara, Peter Cklamovski menjelaskan, walaupun ia hanya berstatus persahabatan, beliau tidak akan mengambil mudah kerana perlawanan kali ini akan memberikan peluang untuk pasukan terus berkembang.
“Setiap peluang kita dapat bersama adalah satu peluang untuk kita berkembang. Kita ada perlawanan dengan Singapura dahulu di mana kita mahu main bola sepak dengan baik dan saya mahu kita main bola sepak dengan baik.
“Kita mahu jaringkan gol sebanyak mungkin, tanpa bolos dan pastikan kemenangan untuk negara. Kemudiannya kita ulangi pada aksi dengan lawan lebih kuat, Palestin dan saya pasti ia satu lagi cabaran berbeza.
“Ini akan membantu kami melangkah lebih baik sebagai satu pasukan untuk harungi perlawanan lebih penting, Oktober ini. Sekarang kita harungi kem kali ini dulu, selepas ini kita juga sentiasa melihat ke depan,” katanya.
Ketika ini, Harimau Malaya bakal turun tanpa pemain warisan, Imanol Machuca kerana mahu memberi komitmen bersama kelab, Velez Sarsfield malah skuad negara juga turut hilang khidmat Hector Hevel yang disahkan mengalami kecederaan kaki.
Esok, Harimau Malaya akan turun ke Stadium Nasional, Bukit Jalil esok untuk menentang Singapura sebelum menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.