GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan terus memantau dan membimbing seorang guru wanita yang menjadi mangsa kelar suami, minggu lalu dengan fokus utama membantu pemulihan diri agar kembali berkhidmat seperti biasa.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, guru tersebut kini dalam cuti sakit sehingga 2 September dan rawatan susulan termasuk membuka balutan akan ditentukan oleh doktor yang merawat.
“Kita telah menggerakkan pasukan kaunselor organisasi dari PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Timur Laut dan JPN Pulau Pinang untuk memberi khidmat kaunseling.
“Lawatan pertama telah pun dilakukan minggu lalu setelah guru dan keluarga beliau bersedia menerima kunjungan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, pentadbiran sekolah turut dibantu menguruskan kebajikan guru terbabit termasuk kemudahan cuti rehat khas jika diperlukan bagi memastikan proses pemulihan berjalan baik.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi Rabu lalu, suami mangsa iaitu seorang guru lelaki bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan diri sendiri dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di bilik tidur pasangan tersebut di Taman Tunas Muda, Sungai Ara. – KOSMO! ONLINE