BERKONGSI berita baru menjalani pembedahan membuang sel kanser kulit, pendedahan cef selebriti Britain, Gordon Ramsay mengejutkan ramai.
Personaliti berusia 58 tahun itu berkasih kepada pasukan perubatan yang melakukan prosedur membuang Basal Cell Carcinoma (BCC), iaitu sejenis kanser kulit akibat pendedahan berlebihan kepada sinaran matahari.
Ramsay juga tidak ketinggalan mengingatkan orang ramai agar jangan mengambil ringan kepentingan penjagaan dan pelindungan kulit.
“Jangan lupa gunakan krim tabir suria,” tulisnya dalam hantaran Instagram yang mempunyai 19 juta pengikut.
Perkongsian tersebut disertakan dua foto, satu menunjukkan profil sisi wajahnya dengan balutan di bawah telinga kiri, manakala satu lagi memperlihatkan kesan parut selepas pembedahan.
Sempat berseloroh, personaliti masakan yang terkenal dengan kelantangan serta tegas itu menyatakan pembedahan dijalani bukan untuk tujuan menegangkan kulit.
“Ini bukan ‘face lift‘, Kalau betul, saya sudah minta pulangan wang,” ujarnya.
Khabar duka itu dikongsikan beberapa hari selepas pengumuman mengenai penerbitan musim ke-24 rancangan realiti masak Hell’s Kitchen kendaliannya.
Program tersebut popular sejak mula mula bersiaran di Amerika Syarikat sekitar 2005.
Sementara itu, menerusi ruangan komen ramai pengikutnya menzahirkan simpati selain mendoakannya segera sembuh.
“Terus kuat Ramsay. Anda mampu melakukannya. Kami sentiasa di sisi anda,” kata netizen.
“Hanya orang yang kuat seperti anda diuji begini. Saya pasti ramai mendoakan awak,” ujar pengikutnya yang lain.
Selain Hell’s Kitchen, Ramsay juga menjadi juri program MasterChef Dari 2010 sehingga sekarang selain tampil dalam rancangan Kitchen Nightmares sejak 2007.
Pengakuan Ramsay juga pemilik rangkaian Gordon Ramsay Restaurants ini juga muncul lebih dari sebulan selepas dia meraikan kejayaan menamatkan perlumbaan Ironman triathlon.
Terdahulu, Basal Cell Carcinoma juga pernah dihidapi beberapa individu terkenal termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, selain aktor, Hugh Jackman. – KOSMO! ONLINE