PETALING JAYA – Kru flotila telah mengesan beberapa buah dron yang sedang berlegar dan memerhatikan mereka dari ruang udara.
Menerusi perkongsian kru kapal flotila, Yusof Omar, bagaimanapun setakat ini ia tidak menunjukkan sebarang ancaman.
Perkembangan berkenaan telah disampaikan oleh Pendakwah bebas, PU Amin pada hantaran media sosialnya, hari ini.
“Dikatakan hampir setiap flotila ada dron yang sedang berlegar di atas dan memerhati mereka.
“Pada peringkat ini, ia dilihat sebagai dron pemantau. Negara asal dan jenis dron tersebut masih belum dapat dipastikan, namun setakat ini ia tidak menunjukkan sebarang ancaman,” kongsinya.
Bagaimanapun katanya, pihak flotila telah bersiap siaga untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.
“Mereka tetap meneruskan pemantauan pada waktu malam dan memerhatikan situasi dengan teliti.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kongsinya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 15 rakyat Malaysia belayar dari Barcelona, Sepanyol bersama sukarelawan dari 44 negara lain.
Lebih 50 kapal membawa makanan serta ubat-ubatan menyertai misi kemanusian Global Sumud Flotila dalam usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Kumpulan berkenaan dijangka disertai pasukan kedua yang akan berlepas dari Tunisia, esok.
Sejak 2010, beberapa misi flotila antarabangsa pernah berusaha menembusi sekatan Israel, namun kebanyakannya dipintas atau diserang di perairan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE