MANCHESTER – Khabar kurang gembira buat peminat-peminat Manchester United apabila penyerang pasukan itu, Matheus Cunha mungkin diketepikan untuk tempoh yang lama susulan kecederaan dialami.
Kemungkinan itu dikuatkan lagi dengan pengguguran namanya daripada skuad kebangsaan Brazil yang akan menggalas tugas dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chile dan Bolivia minggu ini.
Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) sudah pun mengeluarkan kenyataan mereka terpaksa mengambil keputusan menggugurkan nama Cunha daripada skuad selepas mengadakan perbincangan bersama pasukan perubatan United.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan perubatan United yang sudah melakukan ujian terhadap tahap kecederaan Cunha, kami terpaksa mengambil keputusan untuk mengeluarkan namanya daripada skuad.
“Apa yang pasti, Cunha mengalami kecederaan otot ketika beraksi bersama United menentang Burnley pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini,” kata CBF.
Ketiadaan Cunha pastinya merunsingkan pengurus United, Ruben Amorim selepas menyaksikan skuad kendaliannya bergelut untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Burnley yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke Liga Perdana.
Difahamkan, bekas penyerang Wolverhampton Wanderers itu mungkin memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih, sekali gus bakal terlepas beberapa perlawanan pada musim ini.
Sementara itu, pemain tengah United, Mason Mount juga terpaksa diketepikan untuk beberapa ketika tetapi belum ada keputusan bilakah bekas pemain Chelsea itu akan pulih dan kembali beraksi. – AGENSI