KUALA TERENGGANU – Gara-gara menjadi ‘keldai akaun’, dua wanita masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman demikian setelah Syamimi Zuhairah Jesni, 28, dan Maznah Attan, 52, yang masing-masing merupakan pembantu kedai makan dan pembantu rumah mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Syamimi Zuhairah didakwa membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang hasil penipuan pelaburan Bitcoin tidak wujud berjumlah RM5,000 di sebuah bank di daerah ini pada 3.30 petang, 17 November 2021.
Maznah pula menghadapi tiga pertuduhan membenarkan akaun bank miliknya digunakan untuk menerima wang hasil jenayah tawaran pekerjaan palsu berjumlah keseluruhan RM3,400.
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan tersebut di sebuah bank di daerah ini pada 10 dan 11 Disember 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala Syamimi Zuhairah yang merupakan ibu tunggal dan Maznah masih bujang pula diwakili peguam, Azlina Jaafar daripada Yayasan Biro Guaman Kebangsaan. – KOSMO! ONLINE