KUALA LUMPUR – Susulan situasi tegang melanda Indonesia, pelakon Anna Jobling membatalkan penerbangan ke negara jiran itu yang sepatutnya berlangsung majlis tayangan perdana filem Sukma melibatkan dirinya.
Bagi Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, dia tidak menafikan keadaan di sana kurang selamat untuk dikunjungi buat masa sekarang.
“Sebenarnya esok (hari ini) saya sepatutnya terbang ke Indonesia untuk majlis tayangan perdana filem Sukma tapi ditunda sebab kita tengok laporan berita sekarang ini kurang selamat untuk ke sana.
“Malah untuk kita buat majlis tayangan di sana dalam keadaan sebegitu, saya rasa sangat tak sesuai.
“Jadi kami putuskan untuk tunda,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di majlis tayangan drama Setia Itu Mahal episod ke-27 di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, di sini, semalam.
Berkongsi lanjut, peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu mengharapkan Indonesia yang dianggap sebagai rumah kedua berada dalam keadaan baik.
“Semoga Indonesia cepat sembuh. Doa saya sentiasa bersama rakyat Indonesia.
“Jakarta adalah rumah kedua saya, jadi bila saya tengok keadaan sebegitu, saya sangat sedih.
“Saya ke sana hampir setiap bulan. Kali terakhir saya ke sana (baru-baru ini), sebelum situasi ini semua berlaku,” ujarnya lagi.
Selain itu, Anna turut meluahkan rasa bangga dengan usaha rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan kepada masyarakat Indonesia yang dalam kesusahan.
“Saya sangat berbangga dan terharu bila melihat ramai yang menolong dan berkongsi rasa kasih sayang dengan rakyat di sana.
“Kita kadang-kadang ada bergaduh manja dengan rakyat Indonesia menerusi beberapa perkara tapi tidak dalam keadaan genting ini.
“Ramai rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan dan meluahkan simpati. Bukan kita saja tapi rakyat di Thailand dan Singapura juga.
“Bila perkara sebegini terjadi kita boleh nampak semangat menyokong antara satu sama lain,” katanya lagi.
Sebelum ini, rakyat Indonesia bangkit menyerang Dewan perwakilan Rakyat (DPR) apabila Presiden, Prabowo Subianto mengumumkan kesemua 580 ahli Parlimen menerima elaun tersebut yang hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta.
Protes semakin mengganas berikutan insiden seorang pemandu teksi motosikal, Affan Kurniawan dilanggar oleh kenderaan taktikal polis.
Susulan itu, Probowo membatalkan beberapa keistimewaan ahli DPR sebagai usaha untuk meredakan kemarahan rakyat dan protes yang meragut enam nyawa. – KOSMO! ONLINE