fbpx
Hishamuddin (tengah) bersama ahli keluarga mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja pada sidang akhbar di ibu pejabat MHO, hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

Dijerat kawan sendiri jadi ‘scammer’ di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Terima tawaran kerja daripada rakan sebelum dipaksa dan dipukul untuk bekerja sebagai ‘scammer’ di Kemboja.

Itu nasib dialami dua individu dikenali sebagai Peter, 34, dan Jackson, 40, yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas terjerat dalam sindiket penipuan pekerjaan.

Menurut Low Ang Seow, 67, anak lelakinya, Peter ada memaklumkan untuk pergi ke Filipina atas urusan kerja selepas diperkenalkan rakan pada 15 April lalu.

Namun, katanya, dia terkejut menerima mesej di Telegram pada pukul 1.40 pagi, 12 Ogos lalu mengatakan anaknya ditipu dan dibawa ke Kemboja untuk bekerja.

“Anak beritahu ejen sindiket tidak membenarkan dia pulang ke Malaysia. Jadi saya amat bimbang dengan keselamatan anak.

“Dia tak tahu tempat itu (Kemboja) adalah (lokasi) sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia.

“Selepas sampai di sana baru dia tahu lokasi itu adalah tempat jenayah,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Ang Seow berkata, sebelum ini anaknya bekerja sebagai mekanik di bengkel kereta sebelum menjadi pemandu e-hailing.

“Ketika itu, dia kenal dengan rakan baharunya. Individu itu yang membawa anak saya ke Kemboja, manakala dia (rakan) dipercayai sudah pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Lee Kay Hock, 45, pula mendakwa sepupunya, Jackson ditipu rakan yang menawarkan peluang pekerjaan di Thailand sebelum membawanya ke Kemboja.

Katanya, Jackson mendakwa dia dipukul dan tertekan selain merayu untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Beberapa hari lalu, dia hubungi saya melalui WhatsApp dan beritahu dia berada di Kemboja, bukannya di Thailand.

“Dia dipaksa bekerja selama berjam-jam tanpa rehat yang cukup. Jadi, dia minta tolong saya. Kami sedang mencari jalan untuk membawanya pulang ke Malaysia dari Kemboja,” katanya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Kemboja untuk mengesan kedua-dua individu tersebut.

“Kita akan melaksanakan koordinasi dengan pihak berkaitan dan saya akan menyalurkan maklumat kepada pasukan ‘task force’ di Kemboja bagi membawa mereka pulang.

“Saya ingin nasihatkan masyarakat agar tidak mudah percaya kepada tawaran pekerjaan yang meragukan meskipun daripada kawan sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI