KUALA TERENGGANU – Seorang buruh yang tular selepas dipercayai mengintai usahawan wanita yang juga pempengaruh dalam bilik air sebuah inap desa dihukum penjara enam bulan kerana positif amphetamine sembilan tahun lalu.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, membuat pengakuan bersalah hari ini.
Ahmad Farhan Rizal didakwa memasukkan dadah itu ke dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 12.15 tengah malam, 11 April 2016.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Ahmad Farhan Rizal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengintai seorang wanita dan menceroboh kediaman minggu lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah inap desa di Banggol Peradong, Manir pada pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh juga didakwa menceroboh inap desa itu pada tarikh dan masa sama. Dia berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM3,000 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Kosmo! pada 29 Ogos lalu melaporkan seorang pempengaruh yang berasal dari Ampang, Selangor mendakwa diintip dan dirakam sewaktu berada di dalam bilik air sebuah inap desa di Manir. – KOSMO! ONLINE