PETALING JAYA – “Selamat ulang tahun yang ke-70, satu-satunya cinta hatiku. Engkau adalah anugerah terbesar Allah kepadaku dalam kehidupan yang fana ini, cintaku yang abadi, selamanya, dunia akhirat.”
Itu antara ucapan manis Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sempena hari ulang tahun kelahiran isterinya, Datin Seri Azlin Hezri yang ke-70, semalam.
Menerusi hantaran di media sosial, Dr. Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan buat isteri tercinta.
“Kau telah menjadi ‘soul-mate’ ku, sahabat setiaku, kekasihku, dan tiang sandaranku. Dalam setiap cabaran dan kejayaan, jatuh bangun perjuanganku dan suka duka sejak dari era aktivisme di United Kingdom hinggalah badai kehidupan politik, kau tetap teguh di sisiku dengan penuh kesabaran.
“Kelembutan hati serta jiwa yang tidak pernah goyah. Sayang tidak pernah sekalipun mengeluh, meskipun kehidupan sering menuntut begitu banyak pengorbanan darimu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengimbau ‘kekaguman’ terhadap isterinya itu suatu ketika dahulu sehingga kini.
“Kepetahanmu ketika berucap di khalayak, serta anugerah suara merdumu telah menginspirasikan bukan sahaja suamimu ini, tetapi juga semua yang pernah mengenalimu.
“Namun, apa yang paling aku hargai adalah sifat baikmu, ketabahanmu dalam pelbagai kegawatan, dan kekuatanmu yang begitu jujur serta tenang dalam pelbagai kemelut.
“Sayanglah nadi rumah tangga kita, cahaya keluarga kita, dan ibu kepada tujuh orang anak yang menjadi bukti hidup atas kasih sayang dan kekentalanmu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE