KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) bagi menangani isu ketirisan minyak masak peket.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, melalui aplikasi tersebut, pengguna mesti mengimbas kod QR dan hanya dibenar membuat pembelian apabila disahkan warganegara.
“Kita sedar apa dikhuatiri warga asing mendapat akses kepada barang kawalan seperti minyak masak, gula, petrol dan banyak lagi, tetapi setakat ini bekalan gula mencukupi tak terlalu menjadi isu.
“Namun untuk minyak masak, ia jadi isu kepada rakyat Malaysia kerana mereka susah nak akses apabila warga asing membelinya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara hari ini.
Fuziah menjelaskan, eCOSS adalah aplikasi yang akan merangkumi semua rantaian termasuk pemborong, peruncit hingga kepada pengguna.
Menurut beliau, aplikasi itu akan turut digunakan bagi pembelian petrol RON95 dalam usaha melindungi barang kawalan subsidi supaya tak mengalir kepada warga asing. – KOSMO! ONLINE