fbpx
Balisong yang dilaporkan hilang dan dipercayai masih berada di negara ini.

Balisong bercuti di Malaysia, visa tamat esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini dikatakan datang ke negara ini untuk bercuti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu diketahui hasil siasatan lanjut dengan visa pelancongnya akan tamat pada esok selepas memasuki negara ini pada 7 Jun lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kita lihat penama memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu.

“Berdasarkan visa ketibaan menunjukkan ada masa tiga bulan sebelum tamat tempoh dan tinggalkan Malaysia. Kita menjangkakan 4 September tarikh tamat visa. Dia datang sini untuk bercuti.

“Insya-Allah kalau tiada apa kepada mangsa, dia akan meninggalkan negara ini dan kita dapat kesan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan pihaknya masih mengesan remaja tersebut sepanjang berada di negara ini.

Tegasnya, ini berpandukan kepada maklumat-maklumat disampaikan ibu mangsa.

“Kita sentiasa membuat susulan berdasarkan maklumat disalurkan pelbagai pihak. Sehingga kini, masih belum dijumpai keberadaannya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.

Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.

Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.

Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.

Antara kandungan e-mel tersebut adalah luahan Balisong supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI