LANGKAWI – ASEAN perlu konsisten dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dengan tidak hanya bertindak ketika krisis itu melanda.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, komitmen politik serta tindakan berterusan amat penting bagi mencapai sasaran ASEAN bebas jerebu menjelang 2030.
“Jerebu rentas sempadan bukan sekadar isu alam sekitar, ia turut berkait rapat dengan perubahan iklim, daya tahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, perbincangan hari ini mesti dilihat dalam konteks agenda iklim global,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa ke-20 di bawah Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini.
Katanya, kejadian jerebu yang melanda Malaysia pada Julai lalu menunjukkan bahawa cabaran tersebut masih wujud meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak perjanjian AATHP dimeterai pada 2002.
Menurutnya, ASEAN bebas jerebu bukan sekadar aspirasi, sebaliknya tanggungjawab kolektif demi kepentingan rakyat, ekosistem dan generasi akan datang.
Sementara itu, pada sidang akhbar, beliau memaklumkan Malaysia bakal mengetuai dua jawatankuasa kecil di bawah kerjasama ASEAN melibatkan bidang alam semula jadi iaitu pemuliharaan dan pengurusan biodiversiti serta bahan kimia dan sisa buangan.
“Ketika ini, jawatankuasa kecil mengenai perubahan iklim dipengerusikan Malaysia, namun tempoh tersebut telah berakhir.
“Peranan itu akan diserahkan kepada Singapura dan Thailand dengan tempoh satu setengah tahun pertama dikendalikan Singapura manakala Thailand mengambil alih bagi tahun berikutnya,” katanya.
Tambahnya, Filipina akan mengetuai jawatankuasa pesisir pantai dan alam sekitar marin; Laos (pengurusan sumber air), Kemboja (alam sekitar dan bandar mampan), manakala Vietnam (pendidikan alam sekitar serta penggunaan dan pengeluaran mampan). – KOSMO! ONLINE