LANGKAWI – Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) memfokuskan kepada tiga agenda utama bagi memperkukuhkan komitmen kolektif rantau itu dalam menangani cabaran iklim dan kelestarian alam.
AMME-18 yang bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, perkara pertama adalah memperkukuhkan kerjasama serantau dalam isu utama alam sekitar menerusi kolaborasi rentas sektor.
“Ia khususnya antara AMME, Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) dan badan-badan sektoral ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan AMME-18 dan mesyuarat berkaitan di LICC, di sini hari ini.
Kata beliau, perkara kedua adalah memuktamadkan pendirian bersama ASEAN menjelang Persidangan Negara-Negara Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP30), akhir tahun ini.
“Kita mesti bersatu sebagai sebuah rantau untuk mempengaruhi perbincangan iklim global dengan berkesan.
“ASEAN boleh dan harus mengambil pendirian lebih tegas dalam isu seperti pembiayaan iklim, adaptasi, kerugian dan kerosakan, peralihan adil serta Matlamat Global Adaptasi (GGA),” ujarnya.
Jelasnya, perkara ketiga pula adalah memajukan pelaksanaan perjanjian alam sekitar multilateralisme yang relevan dengan ASEAN.
“Ia termasuk Perjanjian Paris, Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) dan Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) bagi Perjanjian Plastik Global,” katanya.
Beliau berkata, AMME merupakan platform penting kerjasama alam sekitar antara negara ASEAN bagi memberikan panduan strategik dan hala tuju dasar terhadap pelbagai inisiatif alam sekitar serantau.
“Dengan sokongan ASOEN dan kumpulan kerja tematiknya iaitu dari biodiversiti dan kawasan pesisir sehingga pendidikan alam sekitar serta perubahan iklim, AMME telah menghasilkan inisiatif dan dasar yang memberi impak nyata kepada manusia dan alam.
“AMME bukan sahaja menjadi platform menilai kemajuan, malah peluang penting untuk memperkukuhkan komitmen kolektif kita, memperluas kerjasama dan membentuk hala tuju lebih bersepadu serta bercita-cita tinggi,” ujarnya.
Katanya, dengan tema Keterangkuman dan Kelestarian, ia mencerminkan aspirasi ASEAN untuk kemajuan bersama serta komitmen untuk memastikan tiada yang ketinggalan.
“Tema ini juga menekankan usaha membina kerjasama bermakna, mengukuhkan daya tahan dan mempersiapkan ASEAN menghadapi masa depan. Ia menggambarkan tekad kita untuk hidup harmoni dengan alam serta menonjolkan keutamaan dan harapan bersama bagi rantau ini,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan itu selaras dengan prinsip Madani iaitu aspirasi ke arah keterangkuman, keadilan dan tanggungjawab bersama. – KOSMO! ONLINE