PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa akaun Facebook yang menggunakan nama dan imej National Scam Response Center (NRSC) adalah palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Komersil), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya telah mengenal pasti dua akaun Facebook yang menyamar sebagai NSRC pada 30 Ogos lalu.
“Polis ingin menegaskan bahawa kedua-dua akaun facebook tersebut adalah palsu dan sehingga kini NSRC tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, termasuk Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, NSRC berperanan sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas yang merangkumi pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.
“Namun, kewujudan NSRC telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan.
“Sindiket penipuan ini menggunakan nama dan imej NSRC untuk menyamar sebagai pihak berkuasa dengan tujuan memperdaya mangsa, termasuk memancing maklumat peribadi dan memperolehi wang secara tidak sah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE