KUALA LUMPUR – Seramai 770 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Belanja hasil serbuan besar-besaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Bukit Bintang, malam tadi.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Osman berkata, operasi yang bermula jam 7.30 malam hingga 9.30 malam itu melibatkan 106 pegawai penguatkuasa.
“Dalam tempoh dua jam, seramai 2,445 individu diperiksa terdiri daripada 1,600 warga asing dan 845 warga tempatan. Hasil pemeriksaan mendapati 770 individu yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 65 tahun adalah PATI yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menggunakan kad pengenalan tidak diiktiraf,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan di sini, malam tadi.
Menurut Basri, ketika serbuan dijalankan terdapat warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kedai, bawah meja termasuk memanjat bumbung bangunan.
Lebih mengejutkan, suspek bertindak kasar termasuk cuba menghalang tugas pegawai imigresen.
Katanya, warga asing yang ditahan terdiri daripada 377 warga Bangladesh, Myanmar (235), Nepal (72), India (58), Indonesia (19) serta sembilan lain-lain warganegara.
“Mereka semua dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses saringan sebelum ditempatkan di depot tahanan di Beranang dan Lenggeng bagi siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, operasi dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam dan hasil risikan yang mendakwa kawasan itu menjadi tumpuan warga asing. – KOSMO! ONLINE