KHARTOUM – Lebih 1,000 orang dipercayai terkorban selepas bencana tanah runtuh memusnahkan keseluruhan sebuah kampung di barat Sudan, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Hanya seorang yang selamat dalam tragedi di wilayah Darfur itu pada Ahad lalu, demikian menurut Pergerakan Pembebasan Sudan (SLM) yang menguasai rantau tersebut.
Hujan lebat berhari-hari menyebabkan tanah menjadi longgar dan mencetuskan insiden cerun runtuh di Pergunungan Marrah.
Seluruh keluarga, lelaki, wanita dan kanak-kanak ditimbus lumpur dan tanah di Kampung Tarasin. Penempatan itu rata sepenuhnya, kata SLM.
Pemimpin SLM, Abdelwahid Mohamed Nour mengeluarkan rayuan mendesak kepada seluruh dunia untuk membantu mencari mayat mangsa.
“Maklumat awal menunjukkan kematian semua penduduk kampung yang dianggarkan lebih 1,000 orang.
“Hanya seorang terselamat,” katanya.
Penduduk kampung itu mencari perlindungan di Pergunungan Marrah selepas pertempuran sengit antara tentera Sudan dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) memaksa mereka meninggalkan rumah masing-masing. – AGENSI