PONTIAN – Orang ramai terpaksa menunggu lebih setengah jam bagi menyelesaikan tuntutan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kerana sistem pembayaran masih mengalami gangguan teknikal.
Tinjauan di sebuah pasar raya di Taman Seri Aman di sini, masalah tersebut menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lama bagi membuat pembayaran kerana sistem tergendala.
Seorang pelanggan, Mohd Anuar Ismail, 49, dari Ayer Baloi berkata, dia datang sejauh 14 kilometer untuk membeli barangan keperluan menggunakan Sara tetapi menghadapi masalah bagi menyelesaikan bayaran.
Menurut Mohd Anuar, sepatutnya pihak berkuasa mengambil kira masalah pengguna yang datang jauh untuk membeli barangan keperluan harian dengan memastikan sistem berjalan dengan lancar.
“Saya datang bersama isteri membeli beberapa barangan keperluan kerana tiada pasar raya di kawasan Ayer Baloi yang menyediakan perkhidmatan Sara,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Hanapi Sarbini, 72, berkata, dia berharap sistem bayaran dapat dipermudahkan kerana pelanggan yang datang termasuk warga usia emas sepertinya tidak tahan berdiri lama.-KOSMO! ONLINE