BATU PAHAT – Dua lelaki yang bekerja sebagai mekanik dan seorang pengawal Keselamatan dikenakan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 seorang selepas mengekalkan pengakuan bersalah diatas pertuduhan berkaitan upacara pemujaan tarian kuda kepang ketika dihadapkan semula ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Suhai Suttry Sono,35, Azman Mohamed Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40, turut dikenakan tambahan hukuman penjara selama 14 hari jika gagal membayar denda dan pemantauan oleh Pejabat Agama Daerah Batu Pahat bagi tempoh enam bulan.
Kesemua tertuduh membayar denda terbabit.
Ketiga-tiga lelaki itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan semula dibacakan penterjemah Mahkamah dihadapan Hakim Syarie Shazwan Mohd Yusof.
Mereka dituduh melakukan pemujaan salah yang bertentangan dengan syarak pada 10 Ogos pukul 10 malam hingga 11 Ogos pukul 1 pagi di Jalan Pasar, Parit Raja di daerah ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Suhail yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dituduh mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana melakukan kesalahan berhubung dengan akidah.
Manakala Azman serta Anuar yang bekerja sebagai mekanik motosikal dituduh mengikut Seksyen 43(b) persubahatannya yang boleh dihukum bawah seksyen sama. – KOSMO! ONLINE