GERIK – Remaja perempuan Orang Asli yang melahirkan bayi sebelum membuangnya di belakang rumah di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar Ahad lalu masih menerima rawatan di Hospital Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya belum merakam percakapan remaja berusia 18 tahun itu berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan.
Katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes itu namun keterangan doktor dan pembantu perubatan yang merawat remaja terbabit telah diambil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, punca kematian bayi lelaki itu masih belum diperolehi daripada pihak hospital. Remaja terbabit juga disahkan belum berkahwin.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat,” katanya di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, pendarahan serius dialami seorang remaja perempuan membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan pada Ahad lalu.
Remaja itu yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan RPS Kemar memberitahu yang dia melahirkan bayi seorang diri di rumah sebelum membuangnya di belakang kediaman.
Petugas kesihatan di RPS Kemar yang segera ke lokasi kejadian menemui bayi malang itu yang disahkan telah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE