KUALA LUMPUR – Projek rintis pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menunjukkan perkembangan positif meskipun masih di peringkat awal pelaksanaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tempoh enam bulan pertama akan dijadikan tempoh kajian penilaian sebelum sebarang kesimpulan lanjut dibuat.
“Setakat ini, perkembangannya positif (daripada ibu bapa). Namun, masih terlalu awal untuk saya membuat sebarang ulasan. Biarlah tempoh enam bulan ‘edah’ (tempoh kajian) ini selesai dahulu.
“Selepas itu, kita akan gunakan dapatan daripada pihak ketiga yang kita libatkan, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM). Sepanjang tempoh enam bulan ini, para penyelidik UPM akan menjalankan kajian bagi menilai sejauh mana keberkesanan pendekatan yang telah kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kuala Lumpur International Summit On Sustainable Future (KLSF 2025) di sini, hari ini.
Jelasnya, pihak UPM juga akan mengenal pasti aspek-aspek yang boleh ditambah baik bagi projek rintis berkenaan.
“Hasil kajian tersebut kemudiannya akan saya kongsikan dengan semua pihak,” ujarnya.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi memaklumkan dua MRSM terlibat dalam fasa awal projek itu iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang, dengan kira-kira 10 calon warden dipilih daripada kalangan veteran tentera dan polis.
Terdahulu, Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman mendedahkan projek rintis itu mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 500 permohonan diterima walaupun hanya kurang 10 tempat ditawarkan di dua MRSM berkenaan. – KOSMO! ONLINE