PUTRAJAYA- Barisan Nasional (BN) disifatkan lebih mementingkan soal kemenangan kerusi-kerusi yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan bila-bila masa pada tahun ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan itu, fokus gabungan parti berkenaan lebih terarah terhadap aspek tersebut.
“Kesiapsiagaan jentera di seluruh 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah telah kita gerakkan sekian lama dan kita sedang melihat kawasan-kawasan tumpuan yang akan kita berikan di Sabah.
“Kita telah memantapkan dan memuktamadkan rundingan dengan PH, tetapi rundingan dengan GRS belum dimuktamadkan. Kita menghormati kerjasama antara PH dan GRS.
“(Tetapi) yang penting adalah soal kemenangan, jadi kita lebih tumpukan kepada kerusi-kerusi yang kita boleh menangi, dan itu lah tumpuan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rundingan antara UMNO dan GRS yang masih belum menemui titik pertemuan pada masa ini menjelang PRN Sabah.
Sementara itu, ditanya sama ada BN yakin dapat menyelesaikan rundingan bersama GRS menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara automatik November ini, Ahmad Zahid berpendirian parti itu tidak akan menggunakan lambang lain, sebaliknya akan terus bertanding menggunakan logo dacing. – KOSMO! ONLINE