fbpx
Seorang pemuda berdiri di atas jalan dipenuhi runtuhan di kejiranan Saftawi, barat Jabalia di utara Gaza pada 25 Ogos lalu. - AFP

Pelan licik AS tadbir Gaza selama 10 tahun didedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Sebuah pelan pasca perang untuk Gaza yang kini tersebar dalam pentadbiran Presiden Donald Trump membentangkan matlamat Amerika Syarikat (AS) untuk mentadbir wilayah Palestin itu untuk sekurang-kurangnya 10 tahun, lapor The Washington Post kelmarin.

Akhbar itu dalam pendedahan eksklusifnya berkata, Trump mahu mengubah Gaza menjadi pusat pelancongan dan hab pembuatan berteknologi tinggi.

Prospektus setebal 38 muka surat yang dilihat oleh The Washington Post turut membayangkan sekurang-kurangnya pemindahan sementara bagi lebih dua juta penduduk Gaza.

Ia akan dilakukan sama ada melalui apa yang disebut sebagai ‘pelepasan sukarela’ ke negara-negara lain atau ke zon terhad dan selamat dalam enklaf itu semasa kerja-kerja pembinaan semula.

Mereka yang memiliki tanah akan ditawarkan ‘token digital’ sebagai pertukaran hak untuk membangunkan semula harta mereka.

Menurutnya, ia boleh digunakan untuk membiayai kehidupan baharu di tempat lain atau ditebus untuk sebuah apartmen di salah satu daripada enam hingga lapan ‘bandar pintar berkuasa teknologi kepintaran buatan’ (AI) baharu yang akan dibina di Gaza. 

Setiap rakyat Palestin yang memilih untuk keluar dari wilayah tersebut akan diberi pampasan sebanyak AS$5,000 (RM21,000) dan subsidi untuk menampung empat tahun sewa di tempat lain, selain bekalan makanan setahun, demikian menurut dokumen berkenaan.

Dinamakan Amanah Penyusunan Semula Gaza, Peningkatan Ekonomi dan Transformasi (GREAT), cadangan itu dibangunkan oleh beberapa pegawai Israel yang turut membangunkan serta dan menggerakkan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Pada awal Ogos lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 1,000 orang terbunuh ketika menerima bantuan makanan di Gaza yang dikendalikan oleh GHF sejak ia mula beroperasi pada Mei 2025. 

Kebanyakan mereka ditembak oleh tentera Israel yang beroperasi berhampiran pusat-pusat pengedaran GHF.

Pada minggu lalu, Trump mempengerusikan mesyuarat pasca perang Gaza, namun tiada bacaan minit mesyuarat atau keputusan dasar diumumkan selepasnya.

Utusan Khas Presiden, Steve Witkoff yang turut menghadiri mesyuarat tersebut berkata, Trump mempunyai ‘rancangan yang sangat komprehensif’ pada malam sebelum perjumpaan itu.

Tidak jelas sama ada cadangan GREAT yang terperinci dan komprehensif adalah visi sama yang ada dalam fikiran Trump, namun elemen utamanya direka khusus untuk merealisasikan matlamat beliau tentang ‘Riviera Asia Barat’, kata dua orang yang biasa dengan pelan itu.

“Saya percaya (Trump) akan membuat keputusan yang berani apabila peperangan berakhir,” kata sumber yang biasa dengan perbincangan pentadbiran dalaman. 

“Terdapat pelbagai versi berbeza tentang setakat mana kerajaan AS mahu lakukan, bergantung kepada apa yang berlaku,” tambahnya.

Pada Februari lalu, Trump buat pertama kali secara terbuka menyatakan bahawa AS akan mengambil alih Gaza dan membinanya semula sebagai Riviera Asia Barat selepas menempatkan semula penduduk Palestin di tempat lain.

Komen beliau menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa termasuk rakyat Palestin dan kumpulan kemanusiaan mengenai kebarangkalian pemindahan paksa dari Gaza. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI