KLANG – Isteri pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Perkara itu disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim, 27, ketika dihubungi hari ini.
Selain Akberdin turut mewakili Faisal ialah peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.
Sementara itu, Puteri Ummi Kartini berkata isteri Faisal memfailkan permohonan cerai di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu perceraian secara baik.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes berkenaan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Hairuddin Ab Rahim.
Untuk info Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Sebelum ini Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, di Kota Damansara pada 5 Mei tahun lalu.
Pada 8 Mei lalu, peguam kepada Faisal Halim mengesahkan kes serangan asid membabitkan pemain itu diklasifikasikan sebagai NFA oleh AGC. – KOSMO! ONLINE