TUMPAT – Isteri kepada seorang warga emas yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di perairan Kelantan pada Sabtu lalu bermimpi suaminya, Ahmad Hussin, 71, pulang dalam keadaan selamat.
Che Bunga Yaakob, 63, berkata, dia tidak dapat tidur dengan lena kerana terlalu memikirkan keselamatan suaminya.
“Saya bersama lebih 40 ahli keluarga mengadakan solat hajat memohon Allah SWT pelihara suami. Saya hanya mampu berdoa agar dia dijumpai.
“Semasa melelapkan mata dalam tempoh sekejap malam tadi, saya sempat bermimpi suami pulang dalam keadaan selamat. Saya harap mimpi itu jadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Genting di sini, hari ini.
Che Bunga memberitahu, suaminya ada memaklumkan dia tidak akan pulang ke rumah kelmarin sebelum turun memancing di laut.
Menurutnya, dia tetap menaruh harapan agar suami dapat ditemukan dengan segera.
“Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku kepada suami selepas lebih 30 tahun dia menangkap ikan di laut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE