BALING – “Merata ceruk kami mencari, rupanya ayah yang hilang sejak 10 hari lalu meninggal dunia seorang diri di kawasan kebun getah tidak jauh dari rumah.”
Demikian kata Norhidayah Md. Saad, 21, anak tiri kepada Ramli Hashim berusia lingkungan 70-an yang ditemukan meninggal dunia di kebun getah di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, di sini kira-kira pukul 11.10 pagi tadi.
Menurut Norhidayah, bapa tirinya itu tinggal bersama ibunya, Fariza Murad, 64, dan disedari hilang sejak 10 hari lalu.
“Pada 23 Ogos lalu, ayah keluar dari rumah dengan motosikal dan ibu sangka ayah ke kedai.
“Bagaimanapun ayah tidak pulang ke rumah dan ibu ingat dia ke rumah anak-anaknya di Sungai Petani namun setelah kami hubungi anak-anak arwah, mereka beritahu tidak menemui ayah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, bimbang dengan keadaan bapa tirinya itu, mereka sekeluarga mencari di merata tempat tetapi gagal menemuinya sebelum membuat laporan polis.
“Akhirnya mayat ayah dijumpai oleh penoreh getah. Mayat sudah reput, hanya baju dan seluar yang dipakai masih dalam keadaan elok.
“Kebiasannya ayah akan ke kebun-kebun berdekatan untuk mencari daun pisang dan juga ulam-ulaman untuk dijual di Pasar Pagi Sungai Lalang. Ketika ditemui mayat arwah berada dekat perdu pokok pisang dan motosikalnya juga dijumpai berdekatan,” jelasnya.
Tambahnya, mayat arwah bapa tirinya itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat dan Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali mengesahkan penemuan mayat tersebut dan siasatan sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE