KUALA LUMPUR – Persatuan Persahabatan dan Bantuan Bersama Malaysia-China (MCFMA) terus komited memperkukuhkan peranan dalam membantu warga China di Malaysia.
Penasihat MCFMA merangkap Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, persatuan kini mempunyai cawangan di enam negeri iaitu Selangor, Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
“Setiap cawangan digerakkan oleh pengerusi masing-masing dengan kerjasama rapat ibu pejabat bagi memastikan bantuan kepada warga China di Malaysia dapat disampaikan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, ahli MCFMA meraikan ulang tahun ketiga penubuhannya menerusi satu majlis makan malam gilang-gemilang di Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil, Khamis lalu.
Michael Chong berkata, penubuhan MCFMA selepas pandemik bertujuan menyediakan platform sokongan menyeluruh termasuk urusan harian, nasihat undang-undang, perniagaan dan kebajikan kepada komuniti China di negara ini.
Menurutnya, sejak 1994, Biro Aduan MCA sudah lama menjadi rujukan utama warga China di Malaysia dalam pelbagai kes melibatkan penipuan, masalah keluarga, serta isu perniagaan dan undang-undang.
Sementara itu, Presiden MCA, Dr. Wee Ka Siong mengucapkan tahniah kepada MCFMA atas pencapaian tiga tahun dan menghargai peranannya sebagai jambatan rakyat antara Malaysia dan China.
“Tahun ini bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Hubungan dua hala bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah turut meliputi budaya dan pendidikan, mewujudkan kesepaduan hati ke hati antara rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE