PETALING JAYA – Ramai pasangan yang memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah sebenarnya masih diberikan ruang untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka melalui satu proses rasmi dikenali sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Peguam syarie, Fahmi Ramli berkata, JKP merupakan usaha terakhir untuk menyelamatkan rumah tangga sebelum mahkamah meneruskan kes perceraian.
“Ramai yang keliru tentang JKP. Hakikatnya, ia adalah platform rasmi yang menghimpunkan suami, isteri, wakil keluarga kedua-dua belah pihak serta seorang pengerusi dilantik mahkamah bagi membincangkan jalan terbaik,” katanya menerusi perkongsian di kumpulan Telegram.
Fahmi menjelaskan, dalam sesi itu pasangan bersama ahli keluarga akan duduk semeja untuk berbincang dan mencari jalan perdamaian.
“JKP bukan sekadar formaliti, ia sebenarnya peluang terakhir agar keputusan bercerai tidak dibuat secara terburu-buru. Jika pasangan masih ada ruang untuk berdamai, rumah tangga boleh diselamatkan.
“Jika tidak, barulah mahkamah meneruskan proses perceraian,” katanya.
Tambah beliau, kewujudan JKP menjadi bukti bahawa sistem perundangan Islam menitikberatkan keadilan dan kesejahteraan keluarga, khususnya bagi memastikan perceraian hanya berlaku selepas semua usaha perdamaian dilakukan. – KOSMO! ONLINE