MADRID – Seorang bintang sukan Amerika Syarikat (AS) misteri dilaporkan membelanjakan sebanyak €63,237 (RM313,000) untuk makan malam di sebuah restoran di Majorca, Sepanyol, lapor portal berita MailOnline semalam.
Individu berkenaan yang identitinya tidak didedahkan, menikmati hidangan mewah termasuk pelbagai sajian ikan bernilai €45,000 (RM223,000) dan 17 botol arak Dom Perignon Rose di Restoran Annabel di Palma Nova, sebuah bandar di Calvia.
Restoran yang baru sahaja dibuka bulan lalu itu berkongsi salinan bil berkenaan di platform Instagram sambil mengusik pengikut-pengikutnya mengenai identiti tetamu misteri tersebut.
“Bil ini milik siapa? Tag di bawah, kami mahu berbual,” tulis pihak restoran di Instagram.
Menurut kenyataan lanjut, seramai 18 orang menikmati hidangan tersebut, bersamaan dengan kira-kira €3,513 (RM17,000) seorang.
Pihak restoran juga memberi bayangan bahawa kumpulan itu mungkin termasuk seorang atlet terkenal dari AS.
Bil yang luar biasa tinggi itu telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan dan pengguna media sosial mengenai identiti selebriti tersebut. – AGENSI