PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan rasa bangga terhadap beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang memenangi pingat emas pada Kejuaraan Dunia di Paris.
Menurutnya, beliau berbangga dengan kematangan dan keupayaan kedua-dua atlet negara tersebut melihat melangkaui diri sendiri selepas mereka berpisah pada April lalu.
“Jawatankuasa Road To Gold tidak bersetuju dengan pemisahan itu dan menasihati mereka mempertimbangkan semula keputusan itu kerana kerajaan telah banyak melabur kepada pasangan ini.
“Empat bulan kemudian, kita dengan pingat emas mereka daripada Kejuaraan Dunia di Paris. Kerajaan Madani mahu belia membawa semangat kecemerlangan dalam segala yang mereka lakukan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beregu campuran negara, Tang Jie- Ee Wei melalui kontroversi apabila berpisah sementara dan kemudian kembali bersatu sebelum muncul juara dunia 2025.
Hannah Yeoh seterusnya berkata, kejayaan tidak sentiasa datang dengan cepat dan kadangkala memerlukan banyak penderitaan dan kepedihan sebelum melihat kejayaan emas.
Ujar beliau, ia memerlukan ketabahan, bertahan, bangkit semula dan teruskan melakukan apa yang diyakini benar sehingga air mata bertukar menjadi kegembiraan.
“Mereka mencintai Malaysia, tidak melupakan bendera negara dan meletakkan negara melebihi kepentingan diri mereka.
“Jadi ingatlah, kejayaan besar anda mungkin lebih hampir daripada yang anda sangka. Dalam kes Tang Jie–Ee Wei, kejayaan Kejuaraan Dunia mereka hanya empat bulan daripada perpisahan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE