PETALING JAYA – Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain menyedari harapan besar yang digalas pasukannya untuk melunaskan janji kepada peminat bola sepak di Malaysia.
Walaupun sedar cabaran menanti anak buahnya pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 kali ini, Nafuzi tidak rela untuk mengakui kalah lebih awal kerana menganggap peluang masih lagi terbuka luas buat semua pasukan.
“Kumpulan ini agak sukar kerana pencabar kami juga adalah pasukan yang bagus. Tetapi kehadiran kami ke sini adalah untuk beri sehabis baik bagi melayakkan diri ke pusingan akhir.
“Ini adalah kejohanan kedua saya bersama pasukan dan saya berharap kami mampu pamerkan prestasi baik. Walaupun kebanyakan pemain baharu, kami mahu tunjukkan yang kami boleh bermain baik.
“Kami datang awal (ke Thailand) untuk jalani kem latihan dan turut mengadakan persahabatan. Tujuannya kami mahu sesuaikan diri dengan persekitaran di sini sekali gus membolehkan kami beraksi baik,” katanya pada sidang media pra perlawanan hari ini.
Malaysia akan membuka saingan menentang Lebanon di Stadium Thammasat, petang esok sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F bertemu Mongolia, Sabtu ini diikuti Thailand pada 9 September. – KOSMO! ONLINE