PETALING JAYA – Pemain utama dalam industri e-dagang dan logistik, JD.com menyatakan hasrat mengembangkan perniagaan di Malaysia khususnya dalam bidang logistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu disampaikan semasa beliau mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi syarikat JD.com di Beijing, China.
“Saya menyambut baik hasrat ini, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Pada masa sama, JD.com juga berhasrat membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, beliau kemudian bertemu dengan wakil China Semiconductor Industry Association (CSIA) iaitu sebuh badan induk yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China.
Menurutnya, beliau dalam pertemuan itu menegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS)
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Kerajaan Madani akan terus menarik pelaburan berkualiti, meneroka peluang baharu dan membangunkan sektor strategik demi kemakmuran rakyat dan masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya. – KOSMO! ONLINE